Tuesday, February 9, 2010

Elak Masuk Jerat Laman Web Sosial


KUALA LUMPUR: Golongan muda khususnya pelajar sekolah disaran berwaspada menggunakan laman web sosial seperti Facebook, MySpace dan Friendster bagi mengelak ancaman jerat siber.

Ketua Jabatan Capaian Luar Cyber Security Malaysia, Azman Izham Khairuddin, berkata ini berikutan pihaknya mendapati banyak kes jenayah siber yang menjadikan golongan muda sebagai mangsa.

Beliau berkata, masyarakat Malaysia masih belum menyedari laman web adalah penyumbang utama kepada jenayah.

Katanya, ini berikutan ledakan dunia siber memberi banyak pendedahan kepada sebarang maklumat buat masyarakat serta mampu menerawang ke segenap sudut dan dicapai oleh siapa saja.

"Jenayah siber di Malaysia tidak kurang hebat seperti apa yang berlaku di negara luar, cuma kita kurang pendedahan dan orang ramai bebas mendedahkan identiti di laman web masing-masing.

"Di Malaysia, banyak kes membabitkan golongan muda seperti kanak-kanak dan pelajar sekolah terpedaya dan akhirnya terperangkap," katanya selepas sesi pertama seminar kesedaran CyberSAFE For Youth, di sini, semalam.

Seminar sehari anjuran Cyber Security Malaysia ini diadakan untuk memupuk kesedaran ancaman siber kepada golongan muda agar tidak terpedaya dan taksub dengan dunia di laman web.

Mengulas lanjut, Azman Izham berkata, sekiranya tidak berhati-hati mereka boleh menerima 'virus' berbahaya dan terdedah kepada pelbagai risiko termasuk buli alam siber.

Sementara itu, peserta seminar, Hazeeqah Amirah Yaziz, 16, berkata dirinya kini akan mula berhati-hati dan tidak lagi mendedahkan maklumat peribadi di laman web khususnya laman sosial.

"Selepas ini saya akan mula menapis kenalan di Facebook dan tidak meletakkan gambar berunsur peribadi dalamnya. Saya juga tidak akan mudah percaya dengan rakan kenalan di laman sosial kerana kini baru saya sedar ia boleh mendatangkan bahaya serta mengancam keselamatan," katanya.

.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Share |