Sunday, June 27, 2010

Sasar 20,000 Isi Rumah Langgan Pakej Kos Rendah TM


TELEKOM Malaysia (TM) mensasar 20,000 isi rumah berpendapatan rendah di Sabah melanggan pakej kos rendah langganan RM38 sebulan untuk akses Streamyx dan Notebook 1Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Besar TM Sabah, Sukkuriya Masri, berkata sejak Pakej Jalur Lebar TM dengan Notebook 1Malaysia dilancarkan baru-baru ini, 800 isi rumah golongan terbabit mendaftar untuk langganan. “Buat masa ini, jumlah diterima hanya 800 isi rumah, namun kami yakin jumlahnya akan mencecah 20,000 menjelang akhir tahun ini,” katanya selepas pelancaran Pakej Jalur Lebar TM dengan Notebook 1Malaysia di Sabah, baru-baru ini. Majlis pelancaran produk itu disempurnakan anggota Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh.

Sukkuriya berkata, pengenalan pakej jalur lebar dan produk kos rendah TM itu dijangka meningkatkan lagi kadar penembusan jalur lebar di semua kawasan di Sabah kerana ia mampu diakses lebih ramai rakyat.

“Buat masa ini sebilangan besar komuniti di kawasan pedalaman boleh menggunakan jalur lebar untuk mendapatkan maklumat yang berguna termasuk untuk membangunkan kerjaya dan pendidikan mereka,” katanya.

Selain itu menurutnya, liputan dan akses jalur lebar di Sabah dijangka bertambah meluas menjelang pertengahan tahun depan apabila pemasangan sistem kabel bawah tanah di beberapa kawasan pedalaman seperti dari Nabawan ke Sepulut dan Kalabakan siap dalam tempoh berkenaan.

Sementara itu, Abdul Ghapur dalam ucapannya meminta masyarakat supaya menggunakan kemudahan berkenaan sebaik-baiknya dan belajar bagaimana menggunakannya untuk mendapat manfaat daripadanya.

“Tidak guna dan tidak ada makna kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan yang canggih tetapi rakyat tidak menggunakannya,” kata Ghapur.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Share |