Tuesday, July 6, 2010

Medium pengiklanan mudah alih Maxis


PADA hari memiliki telefon bimbit menjadi satu keperluan untuk memudahkan tugas seharian selain sebagai medium komunikasi dan bersosial bersama rakan-rakan.
Bahkan, telefon bimbit juga kini dilihat platform terbaik bagi para pengiklan dan pengguna untuk mempromosikan serta mendapat informasi mengenai produk yang diniagakan.
Menyedari potensi pengiklanan dalam platform tersebut, Maxis Bhd. (Maxis) telah melancarkan pengiklanan mudah alih berasaskan persetujuan generasi akan datang iaitu myDeals baru-baru ini.
Medium pengiklanan terbaru ini dapat direalisasikan melalui kolaborasi teknologi pasaran pengiklanan mudah alih pelbagai saluran Out There Media (OTM) yang berpangkalan di Vienna yang dikenali sebagai Mobucks.
Ketua Pegawai Operasi (CEO) Maxis Jean-Pascal van Overbeke berkata, Malaysia menyasarkan untuk mempunyai 42.5 juta pelanggan mudah alih menjelang tahun 2014, industri pengiklanan mudah alih kini menikmati pertumbuhan yang kukuh.
"Penggunaan Internet mudah alih juga kian meningkat dengan telefon pintar menyediakan potensi hebat untuk pasaran ini.
"Dengan perkhidmatan terbaru ini, para pengiklan boleh menyampaikan pengiklanan yang disasarkan kepada pelanggan-pelanggan sasaran dan mendapat maklum balas dengan lebih berkesan," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran itu.
Hadir sama dalam majlis pelancaran berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif OTM, Kerstin Trikalitis dan Ketua Bahagian Produk, Peralatan dan Inovasi Maxis, T.Kugan.
Pengenalan perkhidmatan pengiklanan dengan kebenaran pelanggan itu merupakan yang pertama seumpamanya diperkenalkan di Asia Tenggara.
Jean-Pascal van Overbeke menambah, keunikan pengiklanan mudah alih itu adalah pengguna perlu memberi kebenaran terlebih dahulu sebelum ia dapat berfungsi.
Katanya, myDeals juga membenarkan pelanggan-pelanggan memilih segmen pengiklanan yang ingin mereka terima mengikut kesesuaian masa dan minat.
"myDeals sesuai digunakan pada apa juga telefon bimbit seperti khidmat pesanan ringkas (SMS), khidmat pesanan multimedia (MMS), data, suara dan portal WAP.
"Bagi perniagaan pula, myDeals ialah perkhidmatan lengkap yang menyediakan teknologi pasaran pengiklanan mudah alih OTM dengan rangkaian moden Maxis berserta gabungan perkhidmatan perundingan kedua-kedua pihak.
Pada masa ini, 12 rakan niaga telah menyertai perkhidmatan baru ini termasuklah Malaysia Airlines, Colgate-Palmolive, Panasonic dan BMW. - NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 
Share |